Tips Penjagaan Ikan Air Tawar
Apa yang paling penting dalam hobi ini ialah kualiti air. Oleh itu, para penghobi perlu menukar air akuarium untuk mengekalkan kualiti air di dalam akuarium anda. Tukar air atau dipanggil sebagai "WC - water change" amat penting dalam hobi ini. WC perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali supaya ikan tidak sakit disebabkan oleh pengumpulan ammonia yang terhasil dari najis ikan dan lebihan makanan dalam akuarium anda. Klik Kitaran Nitrogen untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitaran air akuarium anda.
Apa itu "water change - WC"?
Tukar air atau dalam istilah peminat akuarium dipanggil "water change" atau secara ringkasnya "WC" merupakan rutin yang perlu dilakukan oleh penghobi akuarium untuk memastikan kualiti air akuarium anda berada pada tahap yang baik supaya penyakit ikan dapat dihindar dan dielakkan. WC perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali dengan cara menukar air sebanyak 10% hingga 25% air dan digantikan dengan air yang telah di nyahklorin. Selain itu, kotoran najis ikan juga harus disedut keluar semasa melakukan WC. Dengan ini kesegaran air dapat dikekalkan dan memastikan ikan berada dalam keadaan yang terbaik.
Cara WC dengan sempurna.
1. Penyediaan Air
Sediakan air yang telah dinyahklorin terlebih dahulu.pastikan mengikut sukatan antiklorin supaya tidak terlebih atau kurang. Ini untuk memastikan ikan tidak terkejut dengan perubahan air.
2. Cuci filter, lampu dan alat pemanas anda
Tutup suiz alatan anda dan bersihkan dengan mengosok mengunakan span akuarium. Span dan media filter juga perlu ditukar secara berkala semasa melakukan wc.
3. Cuci cermin akuarium anda
Gosok dan bersihkan cermin akuarium dari segala kotoran seperti alga yang melekat pada cermin. Gunakan span, berus atau pengkikis alga yang sesuai untuk akuarium.
4. Sedut keluar air dari akuarium
Biasanya, air akan disedut keluar menggunakan sifon. Sedut dicelah batuan dan pasir mengunakan sifon supaya kotoran dapat disingkirkan. Jika tidak mempunyai sifon, ana juga boleh mengeluarkan air mengunakan gayung atau apa-apa bekas yang sesuai. Keluarkan sebanyak 10% hingga 25% air sahaja. Ini untuk memastikan bakteria baik yang diperlukan dalam akuarium dapat dikekalkan.
5. Isi semula air yang telah disediakan
Isi semula air yang telah nyahklorin dengan perlahan supaya ikan tidak akan terkejut dengan perubahan suhu atau perubahan pH air. Ini kerana ada sesetengah hidupan akuatik ayang amat sensitif dengan perubahan air secara tiba-tiba.
6. Pasang semula filter, lampu dan alat pemanas
Setelah selesai mengisi air yang baru, semua alat-alat tambahan boleh dipasang semula. Pastikan semua alat yang dipasang tidak bermasalah dan berfungsi dengan baik. Pastikan tangan anda kering sebelum menekan suiz untuk mengelakkan anda dari terkena renjatan elektrik.
7. Cuci dan simpan alat-alat yang digunakan untuk membersih
Cuci dan bersihkan alatan anda dengan sempurna. Simpan di tempat yang bersih dan tertutup supaya tidak berlaku sebarang pencemaran pada alatan anda.
Rumusan
Akhir sekali, penjagaan air amat penting supaya ikan tidak mudah sakit dan mati. Penjagaan air juga merupakan perkara paling utama dalam hobi penjagaan ikan hiasan. Semoga kita dapat menjaga haiwan peliharaan kita dengan sebaiknya.